Wednesday, November 28, 2012

Takrifan Motivasi

Artikel motivasi ini menjelaskan definisi, pengertian, maksud, makna atau takrifan motivasi dengan cara yang lebih mudah difahami.

1. Motivasi Sebagai Pengarah Tuju & Penggerak Tindakan 

Perkataan MOTIVASI adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang juga telah dipinjam oleh Bahasa Melayu / Bahasa Malaysia kepada MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan.

Jadi, ringkasnya, oleh kerana perkataan motivasi adalah bermaksud sebab, tujuan atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya berusaha keras mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif.

Oleh itu, kita boleh definisikan bahawa:

"Motivasi adalah sesuatu yang menggerak dan mengarah tuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif."


2. Motivasi Sebagai Pendorong 

Tujuan atau motif adalah sama fungsinya dengan matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat atau cita-cita. Jadi, wawasan, cita-cita, impian, keinginan atau keperluan seseorang itu malah bagi sesebuah negara merupakan pendorong utama yang menggerakkan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dihajatkan.

Lebih penting sesuatu yang ingin dicapai, dimiliki, diselesaikan atau ditujui, lebih serius dan lebih kuatlah usaha seseorang, sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat atau negara untuk mencapai apa juga matlamat yang telah ditetapkan. Jadi, dengan matlamat atau hasrat yang lebih penting atau besar, lebih kuatlah pula dorongan atau motivasi seseorang itu untuk berusaha bagi mencapai matlamatnya.

Oleh itu, bolehlah kita buat kesimpulan di sini bahawa:

"Motivasi adalah suatu bentuk dorongan minda dan hati yang menjadi penggerak utama seseorang, sesebuah keluarga atau organisasi untuk mencapai apa juga yang diinginkan."


3. Motivasi Sebagai Darjah Kesungguhan 

Tahap kepentingan sesuatu yang seseorang ingin capai, memberi kesan terhadap tahap kesungguhannya berusaha. Sungguhpun masa untuk mencapainya agak lama, tetapi jika apa yang dihasratkan itu amat penting, ia akan terus tetap mempunyai keinginan atau kesungguhan untuk berusaha sehinggalah matlamatnya tercapai.

Oleh itu, bolehlah juga kita buat kesimpulan di sini bahawa:

"Motivasi adalah darjah atau tahap kesungguhan dan tempoh keterusan seseorang, berusaha untuk mencapai tujuan atau matlamat."


4. Motivasi Sebagai Stimulator 

Seseorang lelaki dan wanita yang sedang saling amat cinta mencintai sehingga telah berjanji untuk hidup bersama, akan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk menjadi suami isteri walaupun menghadapi pelbagai halangan berbuat demikian.

Itulah sebab makanya, ramai pasangan yang kita dengar pergi bernikah ke luar negara apabila ada halangan (undang-undang) yang tidak membolehkan mereka mendapat sijil perkahwinan di dalam negara. Seperti kata pepatah Melayu "Nak, seribu daya. Tak nak, seribu dalih."

Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa:

"Motivasi adalah stimulasi atau semangat akibat rangsangan atau keghairahan terhadap sesuatu yang benar-benar diingini."


5. Motivasi Sebagai Pemangkin Keberanian 

Apabila kita betul-betul dan benar-benar inginkan sesuatu, ketakutan atau kemalasan menjadi perkara kedua - mencapai matlamat akan menjadi perkara utama; keberanian, kerajinan dan ketekunan akan timbul.

Oleh itu, bolehlah kita simpulkan atau definisikan bahawa:

"Motivasi adalah suatu mangkin yang menimbul dan menyeramakkan keinginan, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu matlamat mencabar yang benar-benar diingini serta diyakini boleh dicapai / perolehi."


Petikan dari sumber (Hakcipta Terpelihara) 2012, Taidin Suhaimin

Tuesday, November 27, 2012

Belajar Memimpin Daripada Rasulullah

Assalamualaikum.

Saya baru membaca buku 100 Tokoh Paling Berpengaruh Dalam Sejarah Dunia Karangan Michael Hart. Beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW tokoh yang paling teratas. Menunjukkan betapa hebatnya Rasulullah dalam aspek kepimpinan menyebabkan saya merasa berbangga menjadikan beginda sebagai idola saya.

Teringat kata hikmah tentang aspek kepimpinan rasulullah.

"Kita boleh mencintai orang lain tanpa memimpin mereka tetapi kita tidak boleh memimpin orang lain tanpa memimpin mereka"

Saya akan cuba mencontohi kehebatan baginda dan menyebarkan kebaikan keseluruh alam.